31 Oktober 2013 - 20:30
Tiga individu mengaku tidak bersalah

3 individu yang ditahan atas kesalahan memiliki bahan yang berkaitan dengan ajaran Syiah mengaku tidak bersalah.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Tiga lelaki yang ditahan atas kesalahan memiliki bahan yang berkaitan dengan ajaran Syiah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Parit Buntar.

Abdul Manap Abdul Hamid, 49, Idris Mat Desa, 49, dan Abu Bakar Ahmad, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah 1992 kerana mengingkari fatwa Jabatan Mufti Perak.

Berasaskan pertuduhan, Abdul Manap ketika ditahan pada 9 September lalu telah melakukan kesalahan memiliki kain bertulis nama imam dua belas, memiliki 103 buku dialog Sunnah Syiah, dokumen akuan bersumpah dan tujuh biji turbah di sebuah rumah di Sungai Bogak, Bagan Serai pada pukul 6:28 pagi.

Idris pula didakwa atas kesalahan memiliki dokumen berjudul 'Tangisan Karbala' di sebuah rumah, di Kampung Sungai Rawa pada tarikh yang sama kira-kira pukul 6:45 pagi.

Sementara itu Abu Bakar pula didakwa melakukan kesalahan yang sama di sebuah rumah di Kampung Sungai Repoh, Parit Buntar.

Ketiga-tiga yang tertuduh mengaku tidak bersalah setelah setiap pertuduhan dibacakan.

Hakim Syarie, Mohd Faudzi Uzir Abdul Wahab menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh.